Monday, 27 February 2017

Gunung Kinjang 1,455 m.a.s.l

Ianya adalah sebuah perjalanan mengenal hati, diri dan Dia

~Tersadai Traveller~

Usai pertemuan dengan brader Sham (aku anggap dia ni dah macam abang aku jer) di rumah aku (niatnya adalah untuk meminjam kompas bagi tujuan program di Draco Nature Camp) tapi beralih kepada topik jemputan meminang ke puncak Gunung Kinjang (1,455 meter), Chenderiang, Perak. 

Gunung KINJANG? Air Terjun Lata Kinjang selalu lah dengar, selalulah nampak dari highway PLUS kalau lalu di kawasan antara Tapah ke Gopeng tu, ini plak Gunung Kinjang. Memang sangat 'rare' atau lebih tepat masih 'virgin'. Maka kenalah dengan adatnya, meminang ke puncak Gunung Kinjang. Barang yang masih baru selalu memang susah nak dapat, ini pula jadi jejaka idaman untuk bertemu buat pertama kalinya. Mana tidaknya hati aku ini bergelodak sangat untuk ke sana. Aku persetankan saja kurang nya daya minat aku pada aktiviti 'open trip' ini demi untuk menyampaikan hajat bertemu dengan si dara Kinjang (aku memang tak minat join 'open trip' dari dulu lagi). Hajat ku pendam, niat ku genggam, langkah ku hayun, bahu menggalas...


Kampung Sungai Lerek - perjalanan untuk ke sini tidaklah sesusah perjalanan menaiki 4XD ke Kampung Rekom mahupun ke Blue Valley Dam. Laluan yang bersimen memudahkan perjalanan menuju ke kampung ini. Part ini paling aku suka, penduduk kampung hanya bekerjasama dengan orang yang mempunyai kelulusan atau kepercayaan JAKOA sahaja. Maka dengan itu, ekonomi di sini yang berkaitan dengan alam semulajadi masih terkawal. Al maklumlah, manusia ini, kalau dapat tahu ada jer tempat menarik boleh buat duit, dalam masa sehari boleh digasak nya sampai lunyai. Jadi aku hormat pendirian mereka ini yang hanya akan bawa pendaki yang di bawa masuk oleh brader Hisham sahaja. Pada mana yang kerja buat trip tu tak perlu risau, tuhan dah tetapkan rezeki masing-masing. Kalau rasa tempat ini boleh buat rezeki bagi rezeki, bekerjasamalah dengan orang yang sepatutnya. Rezeki kalau dikongsi adalah lebih mulia dan berkat. 

Kembali kepada Kampung Sungai Lerek tadi, pembangunan yang dibawa masuk oleh kerajaan Malaysia ke kampung ini dapat dilihat dengan adanya rumah batu dan talian elektrik untuk semua penduduk kampung di sini. 

Angkatan peminangan - mereka-mereka ni semua sempoi mempoi kelempoi nak kasi tahu. Kalau dapat bawa mereka ini dalam trip aku pasti pecah perut campur pecah trek lah jawabnya. Lawak tak kira siap karaoke bila rehat. Masa jalan tak larat nyanyi sebab angin dalam chamber tak sekata.

Bagi perjalanan menuju ke tapak perkhemahan (Kem Batin Ngah) tidaklah sesukar mana. Tapi percayalah ayat-ayat saya ini mungkin menipu tuan-tuan yang membaca. Sebab apa? Sebabnya pengalaman saya dengan tuan sememangnya tidak sama dan jiwa tuan dengan jiwa saya tentulah juga tidak sama. Aku merasakan yang diri ini sangat kecil bila berjalan di sini kerana laluan yang dibuka ini mengingatkan kepada laluan rentis Gunung Bujang Melaka dari Kampung Batu Berangkai, Kampar. Terasa kecil sebab Gunung Bujang Melaka ini dahulu adalah tempat aku menimba ilmu, menambah ilmu, menjadikan aku 'guide' yang tabah dan juga di sini juga banyak mengajar erti sabar, tenang serta istiqomah. Perjalanan mendaki ini jika ditukar 'term' kepada bermusafir adalah lebih molek kerana dalam musafir seharusnya ada perkara baik yang akan kita lakukan. Jika tidak maka sia-sialah perjalanan itu. Perjalanan yang disertai dengan niat baik serta hajat yang baik, maka akan diberikanlah segala yang baik-baik. 


Setibanya di Kem Batin Ngah (rasanya awal lagi pada masa ini) tapak perkhemahan sementara pun dibina. Banyak lah engineer yang bekerja dalam membina kawasan perlindungan yang kukuh ini. Kalau tengok dalam gambar ini, brader Zulkifli Balas (guide orang asli yang sempoi) sedang bercerita berkaitan dengan cara bumbung harus dipasang. Aku buat tak tahu jer, layan GPS, baru nampak poyo!

Pada yang teringin dan berhajat nak datang ke sini, maksudnya mendaki Gunung Kinjang, Kem Batin Ngah ini letaknya sebelah dengan anak sungai. Jadi nak mandi apa semua tiada menjadi masalah. Kami memilih untuk bermalam di sini dan seterusnya akan mendaki ke puncak Gunung Kinjang awal pagi keesokan harinya. 
Puncak Gunung Kinjang - perancangan asalnya ingin tiba di puncak pada jam 6 pagi tapi disebabkan semangat nak meminang itu terlalu tinggi seperti tingginya gunung ini, tibalah aku dan sahabat-sahabat yang lainnya di sini pada jam 4:30 pagi. Keadaan di puncak sangat sejuk dan berangin pada ketika kami semua tiba di sini. 

Kelebihan kalau pergi 'trip' dengan Draco Nature Camp ini, dapat kopi panas dengan mee goreng daging semasa dekat puncak Gunung Kinjang. Mr Arip ini memang telah dilatih dengan cara paling baik oleh brader Sham ini. Aku kasi 5* buat team DNC. Tapi mesti ada yang tertanya aku ini pergi buat apa? Tadi awal kata brader Sham ajak follow, tapi kerjanya aku ini sebagai 'guide'. Aku pun tidak tahu nak masuk kategori mana. Cuma sekadar membantu dari segi keselamatan dan mengambil inisiatif membawa nama M.I.S.T Project ke sini pula. Jadi sweeper dan tukang pikul signboard jer kerja aku pada minggu ini. Tapi aku tetap 'enjoy' dan belajar benda baru. 

Pemandangan di Puncak Gunung Kinjang memang tidak mengecewakan. Ini adalah antara gunung yang paling banyak 'site' untuk view. Ada 'view' untuk matahari naik, 'view' nak tengok kawasan area Tapah, Cameron Highland, ada 'view untuk tengok pekan Gopeng dan Ipoh serta paling A++ sekali dapat tengok Puncak Tertinggi di Banjaran Titiwangsa, Gunung Korbu. 

Susah nak ceritalah cantiknya 'dara' Kinjang ini (pemandangan), jadi aku belanja gambar untuk kamu semua perhati, perhalusi dan buat keputusan. Keputusan? Iye lah, nak datang ke tidak. wajib datang ke tidak? Kalau kamu rasa kamu dah pergi tempat yang lebih cantik dari ini, maka silaplah telahan kamu itu. Tempat ini wajib dikunjungi, bukan ditawan yer, oleh semua yang betul-betul minat dengan alam semulajadi. Pada yang hanya nak buat koleksi dah sampai maka bukan sinilah tempatnya. 

Mari layan gambar sikit. Nak banyak lagi, datang sendiri, tangkap gambar sendiri kemudian post dalam blog sendiri.
















Kisah sampai di puncak begitulah, susah memang susah tapi berbaloi. Perjalanan turun samalah juga kisahnya, tiada jalan pintas atau jalan mudah. Seperti dalam hidup, nak buat sesuatu biar sampai berjaya. Tiada jalan pintas untuk berjaya. Dan tidak susah untuk mencari kegagalan. Hidup ini mudah tapi jangan dipermudahkan. 

Kalau nak log memang saya tidak akan bagi demi menjaga keindahan tempat ini, periuk nasi orang-orang dekat sini dan juga jasa brader saya yang bersusah payah membuka rentis ini bersama orang asli di sini. Tidak salah kita membantu orang lain semasa kita ada. Kalau asyik kita sahaja nak untung nak sedap, orang lain kita takkan nak biar begitu sahaja. Sama juga dengan perasaan saya sekarang ini, buat rentis baru Gunung Brinchang Barat sampai dapat pengesahan lulus dari BOMBA, Polis dan APM, jenuh mengajak kawan-kawan untuk buang masa bersama redah duri rotan, balik-balik ada pula yang minta mana jalan masuk nak redah begitu saja. Hallo kawan tolonglah paham, susah senang orang lain. 


Ini aku dengan kisah aku, kamu punya cerita aku tidak tahu, 
Kalau aku ada kisah aku, maka kamu juga ada cerita kamu.

Kalau Kinjang tidak tinggi, 
Mana nak sampai hajat di hati, 
Kalau jiwa kental hanya sebaldi, 
Jangan berhajat meninggi diri.


Chenderiang cantik tanah nya indah, 
Bumi terbiar Lerek namanya, 
Tidak tecapai dengannya mudah, 
Puncak nya Kinjang di beri nama

Berjalan pagi hingga ke petang,
Berjumpa Batin Ngah namanya, 
Di kiri sungai indah mengalir, 
Bukan nya senang mencari senang, 
Tidak berjumpa si jiwa jiwa, 
Ibarat hati hangus dipetir


Tamat kisah si 'Tersadai Traveller' pada kali ini. Tersadainya kali ini dengan pengalaman dan ilmu yang indah sekali.

Makluman:

Ingin mendaki Gunung Kinjang;-

Sila berhubung dengan Brader Hisham dari Draco Nature Camp (DNC) untuk segala urusan dari A - Z. Aku berani jamin, korang pasti puas hati dan pasti akan kembali ke Chenderiang. 

Brader Hisham DNC
+60 14-669 6207

Kalau nak saya sampaikan hasrat untuk ke sini juga boleh, tiada akan menjadi masalah. 

Segala 'trip' kelolaan dan perkhidmatan daripada saya boleh lawati:

Kredit foto: terima kasih kepada semua ahli pasukan pendaki pertama yang berjaya tiba di puncak Gunung Kinjang (25 - 26 Feb 2017)

Monday, 13 February 2017

1/2017 Journey Begin

Hai...
2017...

Idea baru idea bernas,
Tiada salah tiada betul,
Fikir panjang cakap beralas,
Ada rahsia tenggelam timbul.

Langkah satu menuju seribu,
Menuju menghala ke Seri Langkat,
Buat apa menung menunggu,
Gerakan langkah bukan bersilat.

Gunung Tahan puncak mahligai,
Puteri cantik menunggu datang,
Apa dikenang perkara membidai,
Bukankah kita alah dan menang?

Kutulis kisah buat pedoman,
Dibaca agar hadam di dalam,
Kuutus berita buatmu teman,
Agar dikenang siang dan malam.

Ini kisah jelajah diri,
Untuk mencari siapa Dia,
Ini kisah kisah sendiri,
Tidak kena dengan sesiapa.

Langkah berundur diminta saya,
Harap diizin dengan beradat,
Langkah diterus selagi upaya,
Budaya bangsa dipegang kuat.

~tersadai traveller (tT🚲)~
Diri tersadai di bengkel Syam, Temerloh Jaya, 13/02/2017

Note: masih tersadai


Thursday, 19 September 2013

Pengakhiran Kisah Korbu Yang Tidak Menjadi

Al-kisah tidak menjadi kenyataanlah trip mendaki Gunung Korbu seperti yang telah saya dan rakan-rakan rancangkan. Mengapa??? Jangan ditanya sebab itu mungkin sudah ketentuan Allah atas apa segala yang berlaku di ata muka bumi ini adalah atas kehendakNya juga....

Lupakan kisah Korbu yang tidak menjadi itu. Ini ada kisah sikit pengganti lara trip tersebut.

*Buat apa la bangunan dengan LOGO ini ada dekat area2
Ipoh ni? Pastu dok sebelah plak dengan istana Raja Muda,
confius, confius....
Jangan risau kisah ini tiada kena mengena dengan gambar di atas ini dan gambar ini saja je sebagai pemangkin pemikiran. Biar kita berfikir kenapa, apa, bagaimana, bila????

Kami berempat berkeputusan untuk meneruskan trip ke Cameron Highland sebagai pengganti trip yang tidak kesampaian ke Gunung Korbu itu. Dalam perjalanan menuju ke Cameron Highland sempat saya menunjukkan kepada sahabat saya, JK, rupa bentuk Gunung Korbu tersebut. Dengan ayat yang santai dia berkata áduhai, nasib la tak jadi naik... kalau tak'... dan mungkin itu juga penyebab tidak kesampaian hajat kami untuk ke puncak Korbu tersebut.

Macam-macam hal.... Sempat juga kami berhenti di laluan Simpang Pulai - Kampung Raja untuk menikmatik makan tengahari yang telah siap dibeli di Pekan Tanjung Rambutan. Dengan berhamparkan 'poncho' hak kerajaan Malaysia, kami berempat duduk makan sambil menikmati makanan yang tersiap ada...

*JK & Kochot sedang menikmati pemandangan dari tepi jalanraya
Perjalanan bersambung semula... kami berhenti lagi di kawasan sempadan Perak - Pahang dan saya menunjukan kepada JK muka rentis untuk Gunung Pass - Yellow. Almaklumla, JK ni sedang bersemangat nak jadi guide katanya. Kalau boleh semua kawasan dia nak terjah!!!

*happy korang ek... gembira dalam sedih sebenarnya ni...
Sambung lagi perjalanan sehingga ke Kem Sungai Pauh. Masuk-masuk, penuh dengan manusia- suasana biasa di sini pada hujung minggu. Dan terkenang saya semasa mula-mula menjejakkan kaki ke sini pada 1997, masih kurang orang yang mengetahui mengenai tapak khemah ini, tapi keadaan berbeza sekarang. Survey punya survey, keputusan pun telah diambil, maka terpacaklah rain-fly kami ditapak sebelah rumah hijau itu.

*hammock baru saya dan rain fly sahabat-sahabat
Malam... perbincangan mengenai aktiviti untuk 3 hari di Cameron ini... Setelah semua memberi persetujuan, maka kami semua akan mendaki ke Puncak Gunung Jasar serta akan merentis semula rentis lama ke Kampung Sungai Ubi seterusnya ke Ladang Bharat Tea. Hujan ribut pada malam pertama di Cameron Highland tidak langsung saya sedar kerana hammock baru saya ini amat memberi kerjasama. Saya hanya tahu mengenai kejadian itu setelah dimaklum oleh Kochot pada keesokan harinya sahaja.

Perjalanan hari kedua... lihat di gambar dan anda akan tahu ceritanya...

*manusia bila dah rakus, habis semua tanah nak ditarahnya. Perjalanan kami bermula dari Oly Apartment menuju ke pintu rimba Gunung Jasar. Kelihatan JK, Kochot dan saya jalan seiringan.

*memanjat pada pertengahan menuju ke puncak Jasar. JK mendahului. Stamina masih lagi cantik. Kochot dan saya masih tetap sama macam dolu2, maintain di belakang.

*beberapa minit sebelum puncak Jasar. JK kepenatan dan gambar ini di ambil dari atas oleh Wawa. Pemandangan sangat cantik dari sisi ini. Tidak percaya? Jom ikut saya...

*kita camping nak tak kat sini, macam best jer... tanah lapang, rata... view pun cantik... tapi sebelahnya ada menara talian arus tinggi... ini yang risau nak meneruskan niat berkhemah kat sini ni... hanya seminit sebelum puncak Jasar. Belakang JK dan Kochot boleh diliat pemandangan indah Banjaran Titiwangsa atau nama lainnya Banjaran Besar yang tersergam indah.

*yeayyyy... puncak Jasar, walau tidaklah setinggi puncak Korbu. Keindahan alam ciptaan Allah tetap yang terbaik walau dilihat dari mana sudut sekalipun.

*JK di puncak Jasar. Bangga dalam penat.

*sembang-sembang di puncak Jasar

*puncak pertama selepas puncak Jasar menuju ke Kampung Sungai Ubi. Cuaca yang baik untuk hari mendaki yang sangat baik.

*pemandangan dari rentis. Nampak ladang teh nun di kejauhan. Mak ai!

*view lagi... memang best...

*view lagilah!

*akhirnya... Kampung Sungai Ubi... juga menjadi laluan utama untuk pendaki ke Gopeng. Laluan dari kampung ini menghubungkan Kampung Sungai Atap, Kampung Ulu Kampar seterusnya ke Pekan Gopeng. Itu dah frekuensi lain...

*ladang teh & sayur... nampak airnya sangat cantik...

*pemandangan dari Kilang Bharat Tea


*siapa yang tak rasa nikmat lepas penat berjalan dengan minum teh di sini, memang bukan di frekuensi yang sama lah nampaknya... Apa kata JK?
Akhiran kisah Korbu tak jadi adalah dengan minum teh di Bharat Tea Shop... layan curry puff, teh halia, strawberry ice blended... memang nikmat...

Untuk melalui pengalaman merentis dan berakhir dengan nikmat minum teh... sila berhubung terus dengan UTEH/KYusree di talian 012 4350530....

Wasalamu

Wednesday, 18 September 2013

Kisah Hammock Baru

Salam semua...
Ini kali saya nak story mengenai hammock baru kepunyaan saya ini. Ini adalah sebenarnya 'review' yang mudah khas saya buat untuk semua peminat aktiviti rekreasi luar. Modal untuk mendapatkan hammock ini dan di mana nak dapatkan akan diberitahu diakhiran kisah 'review' ini. Baca dulu sampai habis, kemudian baru tengok harga. 

Lepas itu baru buat perbandingan harga dengan kualiti.

Hammock atau dalam istilah Melayunya disebut sebagai 'sejenis alatan tidur yang dibuat menggunakan material canvas, kain, tali atau sebagainya yang digantung dan diikat di kedua penguhujungnya'.... ada juga yang gelar benda ini sebagai buaian atau endoi.
Hennessy Hammock, diilhamkan oleh Tom Hennessy yang berasal dari Kanada. Jadi pattern barangan ini berasal dari Kanada tetapi dikilangkan di China.

Antara ciri-ciri menarik 'hammock' ini adalah:

1. Berbentuk asimetrik 
2. Kalis serangga - mempunyai kelambu
3. Kalis angin
4. Kalis air 
5. Poket di bahagian dalam 
6. Mudah dipasang dan dibuka

Cara-cara memasang hammock ini amat mudah, semudah 1, 2 dan 3 dan siap.... anda hanya perlu mengikat kedua bahagian hujung tali di mana-mana kawasan yang anda kehendaki. Selepas itu, hanya tarik lapisan penutup (snake skin) ini untuk membuka hammock anda. Selepas itu, setkan 'rain fly' pada kehendak masing-masing. Dah siap, apa lagi.. leh masuk pastu tidur kat dalamnya... Di bawah ini ada beberapa gambar serta penerangan berkaitan dengan hammock yang boleh dikatakan canggih ini...
*hammock yang telah siap diikat pada dua bahagian batang pokok. Rain fly dibahagian atas yang akan melindungi anda daripada hujan serta embun malam.



*pandangan sisi

*device ini dinamakan 'figure of 9' ianya cuma aksesori yang tidak perlu ada untuk hammock anda ini. Tetapi ianya akan menjadi amat çool' jika dipasang bersama. Device ini adalah device yang menegangkan tali tanpa anda perlu menggunakan sebarang ikatan yang sophisticated....

*Snake skin - penutup hammock anda. Keistimewaan benda ini adalah anda boleh membalut atau istilah membungkus hammock anda terlebih dahulu sebelum membuka tali ikatan dan ini akan menghindarkan hammock anda dari terkena tanah. Sama juga semasa memasang, ikat tali dahulu baru buka snake skin ini.

*bukan seluar dalam berjaring tetapi ini adalah poket yang tersedia ada di dalam hammock bagi memudahkan anda untuk menyimpan barangan penting semasa berkhemah - lampu suluh dsb


*sebelum membungkus dengan snake skin - tiada cara tersendiri dan ini adalah cara saya...

*snake skin ditarik untuk menutup hammock

*dan dibungkus di dalam beg ini
Hennessy Hammock ini adalah satu alatan yang pada saya amat berkesan dan berguna untuk semua penggiat rekreasi luar di Malaysia. Anda mungkin pernah menggunakan hammock yang lain dari ini, tetapi sekali anda menggunakan Hennessy Hammock pasti anda akan terus mempercayai kehebatan barangan ini. Menang membeli, menang memakai...

Kos untuk pembelian...
Hennessy Hammock model Expedition RM 550.00 seunit
Snake skin RM 89.00 satu set
Figure of 9 RM 18.00 satu dan harga berlainan mengikut saiz

Jika ada yang berminat, sila berhubung dengan saudara Muaaz Mohamad (klik sahaja) dan jika dia bertanya dari mana anda mengetahui mengenai hammock ini, katakan dari Uteh ORL selepas membaca review di blog saya ini.

Ít's a hammock, it's a tent, it's a chair - it's a super shelter........

'The coolest tent in the world' - Dwell Magazine