~Tersadai Traveller~
Usai pertemuan dengan brader Sham (aku anggap dia ni dah macam abang aku jer) di rumah aku (niatnya adalah untuk meminjam kompas bagi tujuan program di Draco Nature Camp) tapi beralih kepada topik jemputan meminang ke puncak Gunung Kinjang (1,455 meter), Chenderiang, Perak.
Gunung KINJANG? Air Terjun Lata Kinjang selalu lah dengar, selalulah nampak dari highway PLUS kalau lalu di kawasan antara Tapah ke Gopeng tu, ini plak Gunung Kinjang. Memang sangat 'rare' atau lebih tepat masih 'virgin'. Maka kenalah dengan adatnya, meminang ke puncak Gunung Kinjang. Barang yang masih baru selalu memang susah nak dapat, ini pula jadi jejaka idaman untuk bertemu buat pertama kalinya. Mana tidaknya hati aku ini bergelodak sangat untuk ke sana. Aku persetankan saja kurang nya daya minat aku pada aktiviti 'open trip' ini demi untuk menyampaikan hajat bertemu dengan si dara Kinjang (aku memang tak minat join 'open trip' dari dulu lagi). Hajat ku pendam, niat ku genggam, langkah ku hayun, bahu menggalas...
Kampung Sungai Lerek - perjalanan untuk ke sini tidaklah sesusah perjalanan menaiki 4XD ke Kampung Rekom mahupun ke Blue Valley Dam. Laluan yang bersimen memudahkan perjalanan menuju ke kampung ini. Part ini paling aku suka, penduduk kampung hanya bekerjasama dengan orang yang mempunyai kelulusan atau kepercayaan JAKOA sahaja. Maka dengan itu, ekonomi di sini yang berkaitan dengan alam semulajadi masih terkawal. Al maklumlah, manusia ini, kalau dapat tahu ada jer tempat menarik boleh buat duit, dalam masa sehari boleh digasak nya sampai lunyai. Jadi aku hormat pendirian mereka ini yang hanya akan bawa pendaki yang di bawa masuk oleh brader Hisham sahaja. Pada mana yang kerja buat trip tu tak perlu risau, tuhan dah tetapkan rezeki masing-masing. Kalau rasa tempat ini boleh buat rezeki bagi rezeki, bekerjasamalah dengan orang yang sepatutnya. Rezeki kalau dikongsi adalah lebih mulia dan berkat.
Kembali kepada Kampung Sungai Lerek tadi, pembangunan yang dibawa masuk oleh kerajaan Malaysia ke kampung ini dapat dilihat dengan adanya rumah batu dan talian elektrik untuk semua penduduk kampung di sini.
Angkatan peminangan - mereka-mereka ni semua sempoi mempoi kelempoi nak kasi tahu. Kalau dapat bawa mereka ini dalam trip aku pasti pecah perut campur pecah trek lah jawabnya. Lawak tak kira siap karaoke bila rehat. Masa jalan tak larat nyanyi sebab angin dalam chamber tak sekata.
Bagi perjalanan menuju ke tapak perkhemahan (Kem Batin Ngah) tidaklah sesukar mana. Tapi percayalah ayat-ayat saya ini mungkin menipu tuan-tuan yang membaca. Sebab apa? Sebabnya pengalaman saya dengan tuan sememangnya tidak sama dan jiwa tuan dengan jiwa saya tentulah juga tidak sama. Aku merasakan yang diri ini sangat kecil bila berjalan di sini kerana laluan yang dibuka ini mengingatkan kepada laluan rentis Gunung Bujang Melaka dari Kampung Batu Berangkai, Kampar. Terasa kecil sebab Gunung Bujang Melaka ini dahulu adalah tempat aku menimba ilmu, menambah ilmu, menjadikan aku 'guide' yang tabah dan juga di sini juga banyak mengajar erti sabar, tenang serta istiqomah. Perjalanan mendaki ini jika ditukar 'term' kepada bermusafir adalah lebih molek kerana dalam musafir seharusnya ada perkara baik yang akan kita lakukan. Jika tidak maka sia-sialah perjalanan itu. Perjalanan yang disertai dengan niat baik serta hajat yang baik, maka akan diberikanlah segala yang baik-baik.
Setibanya di Kem Batin Ngah (rasanya awal lagi pada masa ini) tapak perkhemahan sementara pun dibina. Banyak lah engineer yang bekerja dalam membina kawasan perlindungan yang kukuh ini. Kalau tengok dalam gambar ini, brader Zulkifli Balas (guide orang asli yang sempoi) sedang bercerita berkaitan dengan cara bumbung harus dipasang. Aku buat tak tahu jer, layan GPS, baru nampak poyo!
Pada yang teringin dan berhajat nak datang ke sini, maksudnya mendaki Gunung Kinjang, Kem Batin Ngah ini letaknya sebelah dengan anak sungai. Jadi nak mandi apa semua tiada menjadi masalah. Kami memilih untuk bermalam di sini dan seterusnya akan mendaki ke puncak Gunung Kinjang awal pagi keesokan harinya.
Puncak Gunung Kinjang - perancangan asalnya ingin tiba di puncak pada jam 6 pagi tapi disebabkan semangat nak meminang itu terlalu tinggi seperti tingginya gunung ini, tibalah aku dan sahabat-sahabat yang lainnya di sini pada jam 4:30 pagi. Keadaan di puncak sangat sejuk dan berangin pada ketika kami semua tiba di sini.
Kelebihan kalau pergi 'trip' dengan Draco Nature Camp ini, dapat kopi panas dengan mee goreng daging semasa dekat puncak Gunung Kinjang. Mr Arip ini memang telah dilatih dengan cara paling baik oleh brader Sham ini. Aku kasi 5* buat team DNC. Tapi mesti ada yang tertanya aku ini pergi buat apa? Tadi awal kata brader Sham ajak follow, tapi kerjanya aku ini sebagai 'guide'. Aku pun tidak tahu nak masuk kategori mana. Cuma sekadar membantu dari segi keselamatan dan mengambil inisiatif membawa nama M.I.S.T Project ke sini pula. Jadi sweeper dan tukang pikul signboard jer kerja aku pada minggu ini. Tapi aku tetap 'enjoy' dan belajar benda baru.
Pemandangan di Puncak Gunung Kinjang memang tidak mengecewakan. Ini adalah antara gunung yang paling banyak 'site' untuk view. Ada 'view' untuk matahari naik, 'view' nak tengok kawasan area Tapah, Cameron Highland, ada 'view untuk tengok pekan Gopeng dan Ipoh serta paling A++ sekali dapat tengok Puncak Tertinggi di Banjaran Titiwangsa, Gunung Korbu.
Susah nak ceritalah cantiknya 'dara' Kinjang ini (pemandangan), jadi aku belanja gambar untuk kamu semua perhati, perhalusi dan buat keputusan. Keputusan? Iye lah, nak datang ke tidak. wajib datang ke tidak? Kalau kamu rasa kamu dah pergi tempat yang lebih cantik dari ini, maka silaplah telahan kamu itu. Tempat ini wajib dikunjungi, bukan ditawan yer, oleh semua yang betul-betul minat dengan alam semulajadi. Pada yang hanya nak buat koleksi dah sampai maka bukan sinilah tempatnya.
Mari layan gambar sikit. Nak banyak lagi, datang sendiri, tangkap gambar sendiri kemudian post dalam blog sendiri.
Kisah sampai di puncak begitulah, susah memang susah tapi berbaloi. Perjalanan turun samalah juga kisahnya, tiada jalan pintas atau jalan mudah. Seperti dalam hidup, nak buat sesuatu biar sampai berjaya. Tiada jalan pintas untuk berjaya. Dan tidak susah untuk mencari kegagalan. Hidup ini mudah tapi jangan dipermudahkan.
Kalau nak log memang saya tidak akan bagi demi menjaga keindahan tempat ini, periuk nasi orang-orang dekat sini dan juga jasa brader saya yang bersusah payah membuka rentis ini bersama orang asli di sini. Tidak salah kita membantu orang lain semasa kita ada. Kalau asyik kita sahaja nak untung nak sedap, orang lain kita takkan nak biar begitu sahaja. Sama juga dengan perasaan saya sekarang ini, buat rentis baru Gunung Brinchang Barat sampai dapat pengesahan lulus dari BOMBA, Polis dan APM, jenuh mengajak kawan-kawan untuk buang masa bersama redah duri rotan, balik-balik ada pula yang minta mana jalan masuk nak redah begitu saja. Hallo kawan tolonglah paham, susah senang orang lain.
Ini aku dengan kisah aku, kamu punya cerita aku tidak tahu,
Kalau aku ada kisah aku, maka kamu juga ada cerita kamu.
Kalau Kinjang tidak tinggi,
Mana nak sampai hajat di hati,
Kalau jiwa kental hanya sebaldi,
Jangan berhajat meninggi diri.
Chenderiang cantik tanah nya indah,
Bumi terbiar Lerek namanya,
Tidak tecapai dengannya mudah,
Puncak nya Kinjang di beri nama
Berjalan pagi hingga ke petang,
Berjumpa Batin Ngah namanya,
Di kiri sungai indah mengalir,
Bukan nya senang mencari senang,
Tidak berjumpa si jiwa jiwa,
Ibarat hati hangus dipetir
Tamat kisah si 'Tersadai Traveller' pada kali ini. Tersadainya kali ini dengan pengalaman dan ilmu yang indah sekali.
Makluman:
Ingin mendaki Gunung Kinjang;-
Sila berhubung dengan Brader Hisham dari Draco Nature Camp (DNC) untuk segala urusan dari A - Z. Aku berani jamin, korang pasti puas hati dan pasti akan kembali ke Chenderiang.
Brader Hisham DNC
+60 14-669 6207
Kalau nak saya sampaikan hasrat untuk ke sini juga boleh, tiada akan menjadi masalah.
Segala 'trip' kelolaan dan perkhidmatan daripada saya boleh lawati:
Kredit foto: terima kasih kepada semua ahli pasukan pendaki pertama yang berjaya tiba di puncak Gunung Kinjang (25 - 26 Feb 2017)





















No comments:
Post a Comment