Thursday, 13 September 2012

Rentis Bujang Melaka (yg bujang 2 orang saje)

Tarikh 7hb 9 saya bersama 3 lagi pendaki baru dan lama telah bersetuju untuk ke Gunung Bujang Melaka yang terletak di Kampar, Perak. Tetapi di atas beberapa faktor antaranya usia dan tahap kesihatan pendaki, program ini menjadi rentis Kem Lebah (tapak khemah terakhir sebelum puncak Bujang Melaka).

Perjalanan bermula dari Kuala Lumpur sekitar jam 7 petang dan kami selamat tiba di Kampar pada jam 9.30 malam tanpa sebarang masalah sepanjang perjalanan. Lokasi peniduran kami pada malam itu adalah di kawasan air terjun Batu Berangkai yang sememangnya menjadi tarikan pengunjung di hujung minggu.

Saya sebenarnya telah lama mengenali gunung ini dan ianya menjadi kawasan latihan semasa saya di dalam Persatuan Rekreasi Hilir Perak (RHP) dahulu. Sejak 1998 saya mula mendaki gunung ini dan inilah kali pertama saya akan menulis log perjalanan supaya ianya boleh menjadi panduan kepada pendaki baru yang ingin mendaki gunung ini.

Gunung Bujang Melaka yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Bujang Melaka adalah puncak tertinggi di hutan simpan tersebut dengan ketinggian 1,234 meter dari aras laut. Terdapat juga Gunung Relau yang berketinggian 900++ meter (tak berapa nak ingat ketinggian). Dua gunung ini yang membentuk banjaran Bujang Melaka. Di sebelah timur banjaran ini akan membawa anda ke kawasan hutan lipur latar Kinjang dan sebelah utara membawa anda ke kawasan kampung Sahom, Jeram, Perak.

Hari Pertama
07092012
*bermalam di air terjun Batu Berangkai, Kampar, Perak

Hari Kedua
08092012
Jam 0900 pendakian bermula dari Batu Berangkai menuju ke CP Kaki Gunung melalui kawasan kebun getah dan kebun durian milik penduduk asli di situ. Kami berhenti sebentar untuk melepaskan lelah di sebuah rumah orang asli yang terletak lebih kurang 30 minit perjalanan dari Batu Berangkai. Perjalanan diteruskan sehingga ke Kaki Gunung. Untuk pengetahuan anda, terdapat alur air di sini yang menjadi sumber minuman bagi pendaki sebelum meneruskan perjalanan ke Kem NB. Info lanjut berkaitan Gunung Bujang Melaka adalah, anda tidak akan putus bekalan air sehingga ke Kem Lebah. Sekitar jam 1100 kumpulan kami tiba di Kem NB, satu kawasan lapang yang boleh memuatkan sekitar 20 orang pada satu-satu masa perkhemahan. Sumber air boleh didapati di sebelah kanan tapak perkhemahan. Kerja menebas perlu dilakukan sedikit bagi memudahkan proses mengambil air.

Kami meneruskan perjalanan setelah melepaskan lelah di Kem NB menuju ke CP Kedai Kopi untuk makan tengahari. Untuk mengenali CP Kedai Kopi ini amat mudah, ianya adalah satu kawasan yang berbatu dan mempunyai air terjun kecil di sebelah kiri dan rentis untuk ke puncak adalah di sebelah kanan anda. Menu makan tengahari kami adalah nasi putih bersama sup bendi, ikan sepat ronggeng kering dan papadom. Air limau menjadi penghilang dahaga semasa di CP Kedai Kopi.

1430 kami meneruskan perjalanan ke Kem Lebah setelah kenyang. Perjalanan ke Kem Lebah sedikit mencabar bagi peserta yang baru tetapi ianya tidak menjadi masalah kerana kami bergerak secara perlahan.  Setibanya di CP Batu RHP atau Kumbang Tersepit kami melepaskan lelah sebentar dan berkongsi beberapa cerita bersama. Perjalanan dari CP Batu RHP ke CP Simpang menjadi sukar kerana terdapat beberapa laluan yang telah ditutupi oleh pokok tumbang dan kerja menebas terpaksa dijalankan serba sedikit.Setelah 2 jam berlalu, kumpulan kami berjaya tiba di Kem Lebah dan kerja mendirikan khemah giat dijalankan. Rakan yang lain mengambil peluang untuk menyegarkan badan di anak sungai berdekatan.

1930 makan malam disediakan secara bergotong royong dan menu pada malam ini adalah spaghetti bersama cendawan disertakan dengan minuman coklat panas a.k.a MILO. Sesi bersembang diadakan dan mata pun semakin mengantuk lalu berlabuhlah kami semua di bawah fly sheet. Hujan pada malam hari tidak sedikit pun mengganggu tidur kami.

Hari Ketiga
09092012
1000 perjalanan turun menyusuri laluan yang sama dan kami semua selamat tiba di Batu Berangkai tepat jam 1530. Syukur pada Allah semuanya selamat.

Pacing normal untuk Bujang Melaka (untuk rujukan tuan puan sekalian):
Bt. Berangkai - K.Gunung (1 jam)
Kaki Gunung - Kem NB (30 minit)
Kem NB - CP K.Kopi (1 jam)
CP K.Kopi - Batu RHP (30 minit)
Batu RHP - CP Simpang (15 minit)
CP Simpang - Kem Lebah (30 minit)
Kem Lebah - Puncak (2 jam)

*jika berminat untuk mendapatkan khidmat pemandu arah gunung berlesen (nature guide) sila hubungi saya.

Selamat mendaki...



1 comment:

  1. bile ade lagi hiking cam ni.. saya duduk kat sungai manik... ade x kelab hiking dekat Fb yg boleh sy join kalo ade event

    ReplyDelete