Friday, 5 October 2012

Pendidikan Luar Level Saya...

Hai...
Kali ini saya ingin menulis berkaitan dengan pengalaman saya selain dari menjumpai Hidden Valley minggu lepas. Kali ini entri ini saya akan menceritakan serba sedikit berkaitan dengan kehidupan yang serba ringkas di dalam hutan belantara ini.

Saya rasa kita perlu belajar dengan yang pakar untuk terus hidup di dalam hutan ini jika berlaku sesuatu semasa aktiviti ekspedisi kita. Pada hemat saya, yang paling pakar dalam menjalani kehidupan serba mudah di dalam hutan ini adalah tidak lain tidak bukan, orang asli yang sememangnya asli dari hutan ini.

Orang asli ini terdiri dari 3 kumpulan utama iaitu; Semang atau Negrito, Senooi dan Proto-Malay. Keseluruhan suku kaum asli yang terdapat di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 18 suku. Saya tidak ingin bercerita banyak mengenai suku-suku asli di sini, apa yang ingin saya tuliskan adalah sesuatu yang telah saya belajar dengan mereka selama 6 jam kami bersama. InsyaAllah akan saya ceritakan sedikit berkaitan kumpulan utama orang asli pada entri akan datang.

Kehidupan mereka memang mudah. Serba serbi adalah mudah. Dari cara mencari rezeki, tempat tinggal, makanan waima hal-hal perkahwinan juga serba serbinya mudah. Orang asli yang aku menuntut dan mempelajari melalui pengamatan ini adalah dari suku Semai iaitu di bawah kumpulan Senooi. Mereka ini adalah suku yang terbesar yang ada di Semenanjung Malaysia ini.

Pelajaran pertama:
Masuk hutan tak perlu bawak banyak-banyak barang macam kita buat untuk naik gunung sampai penuh beg 70 liter tu, tapi habuk pun tadak. Mereka ni yang penting kena ada parang yang tajam, pemetik api dan sedikit bahan pembakar seperti getah tayar atau plastik yang boleh dijadikan 'fire stater''. Kerana pada mereka, api adalah penting di waktu malam untuk keselamatan, parang penting untuk menebas, membuat penempatan, memburu, dsb. Erm... saya rasa nak buat la sekali, survival hanya dengan parang, api dan sedikit bahan pembakar ni. Tengok macam mana huru-haranya hidup saya nanti.

Pelajaran kedua:
Di dalam hutan banyak terdapat sumber makanan. Tidak kira dari tumbuh-tumbuhan mahupun yang hidup di dalam air. Semua yang rasa selamat untuk dimakan boleh dimakan. Terbaik! Kita kalau dekat bandar pucuk paku yang kecil jer kita makan, paling rare pun pucuk paku midin la yang susah sikit nak cari. Tapi dalam hutan ini, pertama kali saya makan pucuk paku yang besar dan rasanya sememangnya amat-amat sedap jika kena gaya masaknya. Selain itu pokok dahan batu juga sedap dibuat sayur katanya.

Pelajaran ketiga:
Takder pinggan, takder sudu, takder gelas tak perlu risau. Guna jer daun pokok pisang untuk buat semua tu. Memang class la geng-geng Semai ini.

Pelajaran keempat:
Kalau bergerak dalam hutan perlu sentiasa waspada dengan apa sahaja yang ada di sekeliling kita. Kerana mungkin bahaya ataupun rezeki datang menyerah diri. Waima pokok bergoyang sekali pun akan diperhati sehingga benar-benar pasti apa yang ada di situ. Kalau bahaya cepat lari, kalau rezeki pun kena cepat berlari. Untuk mengejar...

Pelajaran kelima:
Bab nikah kahwin orang Semai ini pada saya yang paling sempoi pernah saya dengar. Nak tahu, kena bercerita dengan mereka sendiri. Saya ini mungkin tidak berapa nak pandai, tapi tahu serba sedikit. Nak kahwin free pun boleh kata mereka, pandai bodek mak bapak si gadis, pasti sahaja anda menjadi menantu mereka.

Pelajaran keenam:
Orang asli kalau kena dengan gaya layanan dari kita, mereka ini sudi membantu tidak mengira apa pun perkara asalkan kena dengan saguhatinya. InsyaAllah...

Pelajaran terakhir:
Sila lah berbuat baik dengan penduduk kampung asli yang anda kunjungi semasa di dalam pendakian anda. Mereka ini adalah orang yang paling anda boleh percayai berkaitan selok belok hutan jika berlaku sesuatu kepada ahli kumpulan anda. Malahan sekiranya terdapat orang sesat di dalam hutan, pihak berkuasa akan meminta bantuan daripada orang asli juga akhirnya. Jadi apa salah kiranya jika kita berbuat baik dengan mereka ini dan ini akan menaikan lagi nilai anda sebagai seorang penggiat rekreasi di Malaysia ini.

Masih banyak lagi yang saya perlu pelajari daripada mereka ini. Saya juga berhasrat untuk mempelajari bahasa mereka ini dan bekerjasama dalam menjayakan beberapa projek yang telah saya rangka selama ini.

InsyaAllah... tiada gambar untuk paparan anda, hanya tulisan sebagai pengganti pemerhatian serta pengalaman.

No comments:

Post a Comment