Sunday, 11 November 2012

Gunung Brinchang

Kali ini saya akan menceritakan berkaitan dengan Gunung Brinchang, puncak 6,666 kaki dari aras laut.

Pada tarikh 10 November 2012 saya membawa sekumpulan pelajar dari UTeM di bawah kumpulan Sekeriteriat Anak Melaka (SAM) untuk mendaki ke Gunung Brinchang. Seramai 36 orang pelajar telah menyertai program tersebut.

Dengan serta merta ingatan saya kembali ke tahun-tahun yang telah berlalu di mana saya teringatkan kembali pengalaman saya mendaki gunung ini dari kali pertama sehinggalah ke hari ini.

Alkisahnya....Gunung Brinchang ini boleh dikatakan sebagai gunung-gunung yang terawal saya daki sejak pembabitan dalam bidang mendaki dan rekreasi luar. Kaki gunung ini terletak di pekan Brinchang (kawasan tadahan air) dan menjadi tarikan kepada pendaki dalam dan luar negara.

Saya memang suka mendaki gunung ini kerana ia adalah lokasi di mana saya boleh mengekalkan stamina walaupun telah lama tidak mendaki pada jangka masa yang lama. Hutan gunung ini adalah jenis 'mossy' iaitu berlumut dan lembab. Tanahnya juga lembut dan sentiasa lembab pada sepanjang tahun. 

Jika mengimbau kembali kenangan kali pertama mendaki gunung ini, ia mungkin satu pengalaman pahit buat saya. Tetapi jika di selami kepada kejadian yang berlaku, ia menjadi satu titik permulaan kepada saya dalam kerjaya sebagai jurulatih rekreasi luar.

Pada tahun 1997, kali pertama saya mendaki gunung ini bersama abang dan kumpulan beliau yang hanya pada masa itu termasuklah saya ini berempat orang sahaja. Setelah melalui perjalanan yang teruk naik ke Cameron Highland melalui jalan Tapah (masa ini tiada jalan Simpang Pulai dibuka - masih dalam pembinaan) dengan bas Regal a.k.a bas nak roboh itu, kami berempat terus berjalan kaki ke Brinchang melalui jalan Parit Fall - Sungai Pauh - Taman Sedia. Pergh... kalau ikutkan hati rasa macam nak hempas2 jer beg yang berat kat belakang ni, tapi demi menghormati orang yang lebih tua, saya meneruskan juga langkah kaki ini walaupun berat.

Setelah tiba di Brinchang, kami semua bersiap sedia dengan segala ration yang akan dibawa naik ke puncak Brinchang. Sambung balik berjalan kaki sehingga ke kaki gunung dan kami berehat sebentar di kawasan anak sungai yang terdapat di situ.

Kepala yang pening disebabkan bas Regal ini masih belum juga mahu reda. Dengan sekali arahan, kami meneruskan pendakian ke puncak Brinchang tepat jam 1000 malam. Perghh.. pengalaman pertama mendaki gunung Brinchang, kena pula waktu malam. Sejuk + hujan + pening + sumpah seranah. Dalam pendakian pada malam hari itu, saya merasakan aktiviti mendaki gunung ini adalah salah satu aktiviti yang membuang masa dan keringat sahaja. Kalau la saya ni berani pada masa itu, dah lama saya turun semula ke pekan Brinchang bekrhemah jer dekat tangki air.

Tepat jam 1 pagi saya bersama kumpulan saya selamat tiba di puncak gunung Brinchang ini. Khemah sedia dinaikkan dan saya terus masuk dan tidur. Pada masa ini, pendaki boleh berkhemah di mana sahaja di kawasan gunung ini tanpa ada halangan daripada Pejabat Hutan Cameron. Tetapi kini senario tesebut sudah tidak ada lagi. Semua perlu kebenaran. Macamkan tanah puncak ini kepunyaan dia saja!!!... sama-sama kongsi la wei!!! Ceh termarah plak...

Nak dijadikan cerita, malam tu hujan turun dengan lebat, khemah yang saya bawa bocor di bahagian bawahnya. Apa lagi, air masuk macam anak sungai la jadinya. Ermmm.... nasib badan. Saya tidur di dalam keadaan yang basah, sejuk dan menyakitkan hati pada malam itu.

Kenapa saya boleh berubah dalam sekelip mata (berubah menjadi pendaki sehingga kini)...

Pada awal pagi setelah melalui detik-detik yang menyeramkan, saya bangun awal. Terlihat di hadapan saya ada satu menara pandang (masih ada sehingga kini). Dengan tanpa berfikir panjang saya menaiki menara tersebut dan terbentanglah pemandangan yang indah di hadapan saya dengan sama naiknya fajar pagi. Saya bersyukur kerana dapat melihat pemandangan seperti ini dari puncak ini.Semenjak dari peristiwa pagi tersebut saya mula menyimpan cita-cita untuk mendaki setiap puncak untuk melihat suasana yang sama.

Namun bukan semua gunung sama. Saya mula mengenali lebih ramai pendaki yang lain. Seperti ayahanda yang banyak mengajar saya dalam bidang ini.

Semakin lama saya mendaki saya mula faham akan beberapa perkara. Antaranya, mendaki bukan kerana puncak, tapi kerana untuk mencari ilmu dan pengalaman. Mendaki bukan kerana minat, tetapi kerana mahu lebih dekat dengan alam. Mendaki bukan kerana mendaki, tetapi mendaki kerana ingin berkongsi dan mendaki bukan kerana diri, tetapi mendaki kerana Ilahi.

Seperti yang saya sering khabarkan kepada rakan-rakan yang masih baru, buangkan niat untuk menawan puncak tetapi tanamkan niat untuk mengenal perjalanan ke puncak.

Dan untuk pengetahuan pembaca entri saya ini, di sini jugalah saya telah membawa kumpulan yang pertama sebagai jurupandu pada tahun 1998. Boleh dikatakan gunung ini adalah tempat pertama saya belajar mengenal gunung, mencari ilmu rekreasi, belajar selok belok menjadi 'guide' dan juga belajar erti persahabatan. Persahabatan yang bermula di gunung insyaAllah akan kekal hingga akhir nanti.

Terima kasih saya untuk kepada mereka-mereka ini:
YUSOF BIN ISHAK
SITI ZAWIYAH BINTI ABU HASAN
MOHAMAD NOOR AZHARI BIN YUSOF
YAHYA BIN LEHAM
CIK MARINA BINTI HAMZAH

Di atas sumbangan ilmu dan segalanya.


*khas kepada adinda-adinda yang setia bersama dalam setiap perjalanan.... teruskan usaha kamu dalam mencari ilmu-ilmu yang ada di dunia ini. Ingat, ilmu harus dituntut.

1 comment: