Waktu Thailand sekarang menunjukan 0827 pagi dan pekan Hat Yai ini dah mulai sibuk dengan kenderaan dan manusia-manusia yang ingin memulakan penghidupan di hari yang baru ini. Saya menunlis entri ini disebuah kedai Muslim yang dijumpai secara tidak sengaja semasa dalam perjalanan untuk ke Lee Garden Plaza.
Rocky Muslim Restaurant nama kedainya dan ianya menghidangkan makanan Muslim yang halal untuk setiap pelanggannya. Paling terbaik dekat sini pekerja-pekerja kedai ini memang boleh berbahasa Melayu dan ada juga kedengaran loghat Kelantan terkeluar dari bibir mereka. Kalau sesiapa yang kurang pasti dengan waktu Malaysia dan Thailand, datang kedai ini dan anda boleh tengok perbezaan waktu antara dua negara ini sebab ada dua jam tergantung dengan satu waktu di Malaysia dan satu waktu di Thailand. Terbaik!!! Mesti kedai ini penyokong kuat Malaysia, pada jangkaan saya sahaja.
Saya sambung nanti pula, sekarang waktu untuk menikmati roti pisang dan teh tarik yang baru saja sampai di meja saya ini.
-------------------------------------------------<@
Sambung kembali kisah di sini. Mesti ini adalah satu jenaka untuk anda tetapi ia adalah apa yang berlaku di sini. Orang tua cakap, kenyang perut senang hati. Jadi dengan hati yang senang dan lapang saya telah membeli jersi Harimau Malaya di Thailand untuk membuktikan cinta saya pada tanah tumpah saya sendiri. Bukan sehelai tau tapi 2 helai dewasa dan 1 pasang untuk anak dara saya masih masih lagi kecil itu.
Di Hat Yai ini sebenarnya ada pasar pagi di lokasi yang sama seperti di lokasi pasar malam, Lee Garden Plaza. Tapi pasar pagi ini banyak menjual cenderahati khas untuk pelancong bawa pulang ke tanahair masing- masing. Ini adalah teknik peniaga di sini, kerana setiap pelancong akan daftar keluar dari hotel pada waktu pagi sehingga ke jam 1200 tenghari dan pada waktu inilah masa yang paling sesuai untuk menjual cenderhati untuk dibawa pulang bersama, termasuklah saya terjebak dalam modus operandi diorang ini. Saya mencari sesuatu yang istimewa untuk diberikan kepada sahabat-sahabat saya di dalam Persatuan Eksplorasi Malaysia yang saya terajui sehingga kini. Untuk isteri dan anak tersayang, saya belikan t shirt Thailand untuk mereka berdua.
Saya sebenarnya telah menukar rancangan saya dari untuk ke Krabi hari ini dengan menuju ke Satun atas sebab-sebab yang tertentu yang tidak dapat saya elakkan. Tiket telah ada di tangan dan sambil menunggu waktu berlepasnya saya ke Satun, sempat juga saya mengurut tapak kaki di Hat Yai ini. Memang terbaiklah 'brader' ini urut kaki saya. Selama sejam saya hanya membayar 250Bath sahaja. Harga dan perkhidmatan yang amat berbaloi.
-----------------------------------------------------<@
Sekarang ini saya di dalam van sedang dalam perjalanan ke Satun. Van besar, orang penuh, berhawa dingin dan laju. Duduk pula di depan sebelah pemandu menambahkan lagi keterujaan saya. Untuk pengetahuan semua, jarak Hat Yai ke Satun adalah sejauh 95km iaitu lebih kurang sama jarak dari Kuala Selangor ke kampung halaman saya di Teluk Intan. Van ini berlepas dari perhentian van daerah Songkhla Hatyai dan paling bagus banyak perkhidmatan van untuk ke tempat-tempat lain juga. Krabi boleh, Phatalung, dan banyak lagi la. Kalau rasa malas nak guna ejen terus jer ke sini naik tut tut lepas itu pandai-pandailah anda berdiplomasi dalam bahasa ayam itik bersama tukang jual tiket, pemandu van dan orang ramai. Saya ke sini dengan menaiki motor penghantar dari Hat Yai, salah satu cara pengangkutan di Hat Yai atau lebih tepat di Thailand ini. Setiap penunggang motorsikal ini adalah berlesen dan mereka memakai jaket yang berwarna kuning, oren dan memang mudah untuk dikenali. Helmet? Tidak perlu untuk pembonceng, hanya yang menunggang sahaja perlu memakai helmet. Pembonceng? Boleh sampai 2 orang sekali di belakang. Memang terbaik.
Cuaca sekarang hujan setelah cerah 2 hari yang lepas. Pemandangan di kiri dan kanan dipenuhi dengan rumah-rumah kampung, kebun penduduk tempatan dan yang klise tentang Thailand adalah wayar kabel elektrik diorang ini sememangnya serabut. Jalanraya di sini memang selesa dan lebar. Boleh dikatakan terbaiklah.
Setakat ini dulu tulisan saya di dalam van ini, saya nak hayati perjalanan dulu sehingga ke jeti Tammalang. Nanti saya kisahkan lagi apa yang saya buat setelah tiba di Satun.
---------------------------<@
Sudah 3 tahun saya tidak jejakan kaki di Pulau ini. Dahulu saya pernah bermastautin di sini selama 5 tahun dan pernah bercita-cita untuk tinggal lebih lama di sini. Tapi mungkin sudah direncanakan tidak begitu dan juga telah direncanakan juga untuk saya menjejakan kaki di sini semula walau hanya seketika sahaja. Dahulu tempat saya menulis ini menjadi tempat saya melepakkan diri bersama isteri tersayang jika kami berdua tidak bertugas pada hari yang sama. Tugas saya di sini dahulu memang sibuk. Keluar kerja awal pagi Ahad, pulang rumah lewat hari Khamis. Jumaat cuti, Sabtu buat persediaan semula untuk masuk bertugas pada hari Ahad. Rutin yang saya lakukan selama 5 tahun di pulau ini.
Saya masih teringat damainya suasana di Pulau Tuba, tapak khemah di Pualu Tiloi@Bunga, lepak rumah Abang P dekat Teluk Berembang, tengok matahari terbenam di kawasan Pantai Batu Reban di Selat Bagan serta berada di atas kapal Reef 1 untuk aktiviti tali bersama peserta-peserta saya. Tapi kini saya bergerak secara solo untuk kerja saya yang satu-satunya ini.
Pulau Langkawi, memang namanya pun sudah gah didengar. Ada yang panggil Pulau Lagenda disebabkan oleh satu kisah yang amat diketahui umum, Mahsuri dan ada juga yang panggil pulau ini sebagai Pulau Mahsuri. Setelah tamat 7 keturunan sumpahan Mahsuri, Langkawi membangun sehinggalah sekarang ianya menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
Tadi saya tamatkan penulisan saya di jalanraya menuju ke Satun. Sebenarnya itulah rancangan saya pada hari ini. Mempelejari selok belok perjalanan dari Hat Yai ke Satun seterusnya ke Pulau Langkawi atau Koh Langkawi. Koh bermaksud pulau dalam bahasa Siam.
Boleh dikatakan perjalanan ke jeti Tammalang dan ada yang menyebutnya Tam Malang (malang betul si Tam ni) memang menarik perhatian saya. Saya menempuh pelbagai kampung dengan pelbagai nama yang satu pun saya tidak boleh ingat. Van saya naiki ini memang laju dan dia menghantar semua penumpangnya di lokasi yang diminta termasuklah saya yang ingin terus ke Tammalang ini. Tepat pada masa dan ketikanya.
Pekan Satun ini sama seperti pekan-pekan di daerah utara Malaysia atau di Kelantan. Tiada apa yang menarik minat saya untuk bermalam di sini. Yang pasti ramai penduduk di sini adalah Muslim dan saya juga boleh lihat masjid di sini besar-besar belaka. Sekolah-sekolah pondok dan tahfiz juga banyak di sini menunjukan ianya adalah sebuah pusat penyebaran agama Islam di rantau Selatan Thai termasuklah seperti Yala dan Narathiwat.
Saya tiba di jeti Tammalang tepat jam 1330 dan sama waktu dengan perlepasan feri ke Langkawi. Setelah memeriksa passport di Kastam Thailand saya terus masuk ke dalam feri menuju ke Langkawi. Oh ye sebelum terlupa, 'brader' yang memandu van ini sombong sikit, orang ucap terima kasih dalam bahasa dia pun muka macam jeruk ja. Mungkin dia tak pandai nak sebut sama-sama dalam bahasa Melayu or Inggeris kot. Apa-apa ajerlah 'brader', janji gua sampai Tammalang dan lu boleh pulang ke Hat Yai dengan selamat dan jayanya.
Perjalanan selama 1 jam di dalam feri menuju ke Langkawi saya rasakan amat perlahan diakibatkan oleh kerana tiada penghawa dingin di dalam feri yang berharga 300Bath ini. Macam inilah perkhidmatan yang masih di kelas ketiga yang ditawarkan oleh 2 negara berjiran ini. Bukan nak boikot hanya cuba untuk memperbaiki situasi.
Pernah dengar mengenai Taratao Island atau Koh Taratao? Bahasa kita ini orang sebut Pulau Taratao la. Ianya adalah sebuah Taman Negara dan lebih tepat sebuah pulau yang pernah menjadi set pengambaran untuk siri realiti Survivor yang amat popular satu masa dahulu. Kalau di Malaysia pernah dibuat di Pulau Tiga, Sabah. Feri yang menuju ke Langkawi akan lalu melintasi pulau yang indah ini dan semasa memandang ke arah pulau itu, saya bercita-cita untuk bermalam di sana pada satu masa nanti.
Begitulah serba sedikit nukilan dan catatan pengalaman saya semasa berada di Hat Yai walaupun hanya satu malam. Niat di hati memang mahu tingg lebih lama lagi di negara orang, tetapi atas sebab yang tidak dapat saya elakkan rancangan tersebut perlu saya batalkan.
InsyaAllah pasti satu hari nanti saya akan berjaya juga untuk tiba di Krabi, Ao Nang, Suratthani dan Koh Samui dengan izin Allah hendaknya.
Saya bercadang untuk menulis lebih banyak lagi perkara seperti ini di masa akan datang. Adakah saya boleh menjadi seorang penulis 'travellog'?
Tamat kisah Hat Yai yang tidak tamat pengembaraannya...
No comments:
Post a Comment