Salam semua, semasa sedang menulis entri ini saya sedang berada di dalam 'tren' dari KL Sentral menuju ke Hat Yai. Baru je kejap ni brader jual makanan melintas, rasa macam nak makan, tapi pasti mahal. Dah lama tak kena nasi kandar kat stesen Bukit Mertajam. Satu lokasi wajib untuk berhenti kepada mereka yang menaiki 'tren' ke arah utara ni sebab 'tren' akan terus ke Btterworth kemudian berpatah balik ke Bukit Mertajam, jadi adalah masas untuk anda semua berhenti di sini untuk makan.
Berbalik pada perjalanan saya pada kali ini, dalam tiket tulis mungkin akan sampai dalam jam 0920 pagi tapi waktu Thailand sejam awal dari Malaysia... Ermmm jadi saya ini mungkin akan sampai pada jam 1020 waktu Malaysia.
Diperhatikan di dalam 'tren' ini banyak juga orang yang menuju ke sana, mungkin disebabkan cuti sekolah la kot yer! Saya dah lama berperancangan untuk ke negara gajah putih ini cuma hanya sekarang ini sahaja dapat direalisasikan. Sahabt saya Syafiq akan menunggu saya di Hat Yai nanti dan perancangannya dia akan membawa saya memusing-musing di Hat Yai sebelum saya meneruskan perjalanan ke Krabi pada tarikh 13hb, sam tarikh Malaysia menentang Thailand di Bangkok... Jiwa sudah berbelah bahagi... Bangkok atau Krabi... Kalau Bangkok leh tengok bola sekali...
Di dalam 'tren' ini tidak banyak yang dapat saya buat selain membaca, menulis dan mengelamun. Akan saya sambung kisah perjalanan saya ini keesokan hari, jika berkesempatan... InsyaAllah...
Tamat kisah 10 Disember dan akan bersambung kemudian...
-------------------------------<@
Jam menunjukan 0524 dan saya masih di dalam 'tren' dan sedang menghampiri stesen Taiping. Taiping? Almaknanya masih jauh lagilah Bukit Mertajam dan masih jauh jugalah Hat Yai ni. Apalah yang lambat sangat keretapi ni. Waktu ini saya baru sahaja habis pekena seketul hot dog di kantin di dalam 'tren' ini. Perut dah memulas disebabkan menunggu stesen Bukit Mertajamlah ni.
Saya sebenarnya telah terjaga dari lena akibat dari suhu yang sangat sejuk di dalam koc L7 itu sehinggakan mat salleh yang negaranya sejuk pun komplain, kenapa sejuk sangat di dalam koc itu? Dan dengan selamba juga pegawai KTMB menjawab 'saya sudah turunkan suhu sejam yang lepas'... Turunkan suhu? Bukan ker patut naikan suhu supaya lebih 'warm' sikit.
Saya perhatikan dari setiap stesen, kebanyakan stesen sebelah utara ini sedang mengalami proses pengubahsuaian yang amat drastik. Bagus... Inilah pembangunan dan kemajuan. Kesemuanya dibina bangunan yang baru menggantikan yang lama. Bangunan baru bagus juga, tapi kalau leh kekalkan bangunan lama lagi cantik. Warisan negara harus dikekalkan. Tidak berapa nak nampak sangat keadaan sekeliling sebab masih gelap, baru jam 0531 chor!
Nanti saya sambung lagi setelah tiba di Bukit Mertajam or Padang Besar ataupun Hat Yai nanti. Layan teh O dulu pun cun gak ni.
1156 pagi, saya masih di stesen KTMB Padang Besar baru sahaja lepas menjamah sarapan sekali dengan makan tengahari. Apa kata orang putih, brunch, ntahlah apa-apa ajelah. Saya juga terasa macam sangat kerugian kerana tidak menukar banyak matawang Bath di KL Sentral semalam. Makcik tu tadi datang offer, 'dik tukar wang dik. RM100 adik dapat 990bath. Macam mahal jer... Semalam aku dapat tukar RM101.50 dapat aku 1000bath. Ntah mana yang mahal atau murah pun aku tak berapa nak fasih. Nanti aku kakulatorkan balik.
Terkenang kembali sewaktu di dalam tren sebelum tiba di Padang Besar, sempadan antara Malaysia dan Thailand ini, saya menjamah sektul hot dog dan secawan teh O kosong di dalam 'tren' dengan harga RM6.00. Aduh memang tak dinafikan makanan di dalam 'tren' sememangnya mahal. Kisah makanan yang mahal itu saya ingat sudah tamat setibanya saya di Padang Besar ini. Tetapi lagi sekali tuan kedai makan yang kedainya ada di stesen ini menghentam saya sebanyak RM10.00 untuk sepinggan nasi putih, ikan kembung goreng size S, kerang sikit, telur puyuh 3 biji dan setin air. Rasa macam nak pulang balik jer kat tokei kedai, tapi itulah orang tua-tua pesan, rezeki jangan berkira, mahal ker murah bayar je lah. Jadi ini adalah ingatan kepada sesiapa yang membaca entri ini, nak makan kat sini jaga-jaga. Harapan saya agar makanan di Hat Yai adalah seperti yang dikhabarkan oleh ramai orang. Murah dan sedap.
Sekilas teringat perjalanan 'tren' yang boleh dikategorikan sebagai amat lambat sekali dan saya sudah 3 jam lewat dari jadual asalnya untuk tiba di Hat Yai pada jam 0920 pagi tadi. Dalam ngantuk awal jam 4 tadinsaya masih lagi dapat menangkap tulisan di stesen yang tertera Ipoh. Ha? Jam 4 pagi masih lagi di Ipoh dan saya sudah menjangkakan kelewatan 'tren' ini dari peristiwa yang sesingkat itu.
Sesudah itu saya yang hanya berseluar katok (backpackers style lah sangat) mulai merasa sangat sejuk dengan suhu di dalam koc yang saya duduki itu. Dengan berkeputusan sepantas kilat, saya keluar dan duduk di kawasan yang lebih terbuka dan panas. Sehingga ke jam 6 pagi saya menuju ke kafe untuk menjamah sedikit makanan dan itulah hot dog yang mahal saya ceritakan sebentar tadi.
'Tren' ini berhenti lama di Alor Setar dan ini memberi peluang kepada saya untuk keluar dan meregangkan badan serba sedikit. Dah naik kematu punggung dan tegang segala urat-urat dibadan saya ini.
Dan sekarang saya masih di tepi landasan stesen Padang Besar menunggu 'tren' seterusnya ke Hat Yai. Tunggu je la apa nak jadi lepas ini. Harap-harap semuanya akan okay.
-----------------------<@
Perjalanan dari Padang Besar ke Hat Yai mengambil masa selama 45 minit. Hanya dua gerabak sahaja yang menuju ke Hat Yai dan selebihnya ditinggalkan di Padang Besar.
Stesen keretapi Hat Yai atau Hat Yai Junction in tidak terlau besar tetapi ramai penjual-penjual makanan berada di kaki lima stesen. Tidak kurang juga ulat-ulat agen pelancongan. Yang cuba mencari pelanggan di dalam 'tren'.
Sekarang saya berada di Samila Beach, Songkhla, salah satu daerah di selatan Thailand ini. Dalam perjalanan menaiki motor bersama sahabat saya Syafiq itu saya dapati lebih ramai Muslim di daerah Songkhla ini berbanding dengan Hat Yai. Ini mungkin disebabkan oleh geografinya yang hampir dengan Pattani. Satu pengalaman yang susah nak tengok di mana-mana.
Sebelum itu saya ceritakan sedikit tentang Hat Yai. Ia adlaah sebuah pekan di dalam daerah selatan Thailand atau lebih hampir dengan Songkhla Province dan menjadi tumpuan pelancong yang kebanyaaknnya dari Malaysia. Hat Yai menjadi tumpuan bukan kerana lokasinya yang menarik pada pandangan saya, tetapi aktiviti sosial dan malamnya yang menjanjikan sesuatu yang membahagiakan sesiapa sahaja.
Amaran... Ramai ulat-ulat atau lebih tepat lagi bapak ayam yang akan menyapa anda semasa anda melintasi kawasan tumpuan iaitu di sekitar kawasan Lee Garden Plaza dan Pink Lady Hotel.
Kejadian yang baru berlaku kepada saya di mana seorang 'brader' yang boleh berbahasa Melayu menyapa saya dan mempromosikan tempat 'tiger show' yang dikatakan hanya 5 minit dari kawasan Lee Garden itu. Dngan hanya bayaran sebanyak 450Bath anda boleh untuk menikmati hidangan mata yang serba hanyut dan khayal itu. Tetapi saya menolaknya dengan alasan saya sedang menuju ke Songkhla bersama seorang sahabat.
Di Songkhla tiada lain tujuan saya adalah untuk melihat patung ikan duyunh emas yang ada di Pantai Samila itu. Kawasan itu memang terlalu ramai orang dan ianya amat sesuai menjadi kawasan perkelahan untuk sekeluarga. Kami pulang ke Hat Yai dengan menaiki motor dan inilah pertama kali selepas 8 tahun saya menaiki motor pada jarak yang amat jauh. Terasa kebas seluruh tubuh badan ini.
Malam di Hat Yai memang boleh dikatakan sangat meriah. Saya berkesempatan untuk makan malam di gerai tepi jalan yang peniaganya adalah Muslim. Banyak makanan yang boleh kita nikmati disepanjang jalan hadapan Lee Garden Plaza ini. Suasana amat meriah dengan ramai pelancong yang terdiri dari pelbagai bangsa dan boleh dikatakan majoriti pelancong yang datang ke sini adalah dari Malaysia. Dan saya sempat bersembang dengan satu keluarga Cina yang datangnya dari Malaysia. Yang lebih bestnya, kami duduk semeja lagi.
Teh tarik ais dan teh tarik Had Yai memang kelas. Dengan harga hanya 20Bath segelas ianya memang amat berbaloi. Sepinggan nasi goreng 'seafood' dijual dengan harga 50Bath dan ini sudah cukup untk mengenyangkan saya pada malam ini.
Saya dan Syafiq mengambil masa seketika melepakan diri di tangga Lee Garden setelah perut penuh. Dengan perbincangan singkat kami berkeputusan untuk mernda Bandar Hat Yai dengan motor. Banyak perkara boleh dilihat semasa di dalam perjalanan kami itu. Ada yang baik dan ada yang tidak baik. Kami disapa lagi bapa ayam yang kali ini memberi tawarn untuk membawa kami ke 'sexy show' atau lebih mudah 'tiger show' dengan menaiki tut tut. Kami menolak dengan baik, tapi kalau nak tahu mereka ini memang tidak pernah berputus asa. Tidak dapat bawa kami ke tempat yang dimaksudkan tadi ditawarkan pula wanita Thai untuk dibuat peneman. Pada pandangan saya, mereka memang sesungguhnya tidak akan berputus asa, tetapi kita harus bijak menolak tawarn tersebut dengan sopan. Jangan sesekali bertanyakan lebih berkaitan perkara-perkara itu, kelak anda akan terjebak lebih jauh.
Sesungguhnya pada perjalanan hari pertama saya ini, saya rasa sangat bersyukur kerana negara kita masih lagi tidak terlalu terbuka untuk perkara seperti ini serta dengan usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat pengawasan dan kawalan gejala seperti ini amat sedikit berlaku di Malaysia.
Esok saya akan ke Krabi pada jam 1230 (waktu Thailand) dan saya akan mengembara berseorangan atas sebab-sebab tertentu yang dimana Syafiq akan pulang ke Pendang atas urusan peribadi. Akan saya tuliskan pengalaman saya mengembara berseorangan dari Hat Yai ke Krabi seterusnya pulang balik ke Malaysia.
------------------------------------------<@
No comments:
Post a Comment