 |
| *Air Terjun Anaconda |
Pasti ada yang akan tertanya di mana lokasi air terjun ini. Baiklah pada entri kali ini, akan saya ceritakan berkaitan dengan Gunung Batu Puteh untuk tatapan kepada mereka yang ingin mendaki gunung ini buat pertama kalinya.
Gunung Batu Puteh ini saya kategorikan sebagai gunung latihan dan juga ia adalah gunung kegemaran saya selama saya mendaki ini.
Berketinggian 6,993 dan ada yang nyatakan 6,994 kaki dari aras laut, gunung ini terletak di dalam kawasan hutan simpan Bukit Tapah. Ianya terletak di dalam pekan kecil Tapah, Perak. Gunung ini disenaraikan di dalam gunung-gunung yang perlu daki (
must go: istilah sahabat saya) dan ia adalah gunung ke-8 tertinggi di Semenanjung Malaysia.
Untuk ke kaki gunung ini amat mudah, anda hanya perlu memandu kenderaan menuju ke Hutan Lipur Kuala Woh dan teruskan perjalanan anda sehingga ke empangan Woh. Di sini anda boleh memarkir kereta kemudian meneruskan perjalanan sehingga ke puncak (
mendaki la ye!). Pastikan anda membawa bersama pemandu arah yang bertauliah untuk sampai hingga ke puncak gunung ini. Laluan baru menuju ke Puncak Batu Puteh (
baru bagi orang kita, tidak bagi orang asli) iaitu melalui Pos Musoh / Kampung Kuala Bot. Laluan ini akan membawa pendaki melalui Puncak Dara dan juga puncak Gunung Batu Bujang sebelum tiba di Puncak Gunung Batu Puteh.
 |
| *Empangan Woh |
Berikut saya sediakan log perjalanan untuk sesiapa yang ingin mendaki Gunung Batu Puteh melalui laluan Empangan Woh.
Hari Pertama: mulakan pendakian anda di kawasan Empangan Woh di mana terdapat kampung orang asli di sini. Gunakan laluan konkrit yang telah dibina untuk kemudahan keluar masuk suku Semai yang tinggal di dalam hutan Bukit Tapah ini. Bermula dari EW anda akan pertama menuju ke CP Sungai Telom iaitu pertembungan di antara Sungai Telom dan Sungai Woh. Perjalanan melalui lereng bukit dan tepi sungai selama lebih kurang 1 jam. Sila pastikan anda memasuki simpang yang betul sebelum tiba di Sungai Telom.
 |
| *Sungai Telom |
Setibanya di Sungai Telom, ambil masa untuk berehat sebentar dengan membasahkan muka di sungai yang airnya sejuk dan jernih ini. Anda akan dapat melihat pertembungan sungai ini dan terdapat satu dataran kecil di tengah-tengah yang nampak seperti sebuah pulau dan pastikan anda menghala ke pulau ini. Jika anda terus menyeberangi sungai ini ke daratan yang lagi satu, anda pasti akan tiba di Lubuk Degong, Bidor dan bolehlah terus mendaki ke Gunung Bar Gading (
maknanya salah jalan la tu. Bar Gading betul, Batu Puteh salah). Anda akan terus mengikut rentis yang sedia ada dan akan melalui satu kawasan tebing sungai yang curam. Sungai ada disebelah kanan anda semasa proses melintas ini berlaku. Setelah itu anda hanya perlu meneruskan perjalanan melalui kawasan yang berbuluh sebelum tiba di kaki Bukit Pacak yang akan membawa anda ke Kem Sungai Y. Untuk sampai ke KSY anda perlu melintasi dua (2) buah puncak bukit yang tak berapa nak tinggi tapi memenatkan. Tambah memenatkan lagi dengan pokok buluhnya yang kadang-kadang akan menutupi rentis dan anda terpaksa merangkak untuk melaluinya.
 |
| *Kem Sungai Y |
Lebih kurang 1 - 2 jam perjalanan dari Sungai Telom anda akan menemui sebatang sungai yang bertembung seperti huruf Y dan ianya ter;etak disebelah kanan anda. Anda semakin hampir dengan Kem Sungai Y. Sungainya kecil tapi cukup untuk menyegarkan tubuh yang kelesuan. Berehatlah seketika di sini kerana perjalanan selepas ini adalah lebih mencabar dan teruk.
Sebelum meneruskan perjalanan ke Kem Balak pastikan anda mengisi air minuman untuk kegunaan sepanjang perjalanan nanti. Anda juga dinasihati untuk membawa sedikit bekalan air untuk memasak kerana tiada sumber air sehingga anda tiba di Kem Balak.
 |
| *Kem Balak I |
Perjalanan ke Kem Balak kali ini lebih mencabar dengan anda perlu untuk mendaki laluan yang curam sehingga ke Kem Balak. Sebelum anda tiba di Kem Balak terdapat satu tapak perkhemahan yang rata dan ramai yang memanggilnya dengan Kem Balak I - tiada sumber air di sini cuma tanahnya rata serta mampu menampung sehingga 20 orang (
rapat-rapat la chor!!!) pada satu-satu masa kalau terdesak.
Setelah berehat sebentar di sini teruskanlah perjalanan anda sehingga anda tiba di Kem Balak yang memakan masa selama 1 - 2 jam dari Kem Balak I ini. Perjalanan akan bertambah mudah jika anda semakin hampir dengan Kem Balak. Untuk mengenal kem ini amat mudah; anda akan dapat melihat balak besar yang merintangi laluan dan kawasan ia juga luas. Kem Balak boleh menampun sehingga 30 - 40 orang dalam satu-satu masa, tapi saya pernah terjebak di kem ini dengan jumlah peserta seramai 90 orang + jurupandu-jurupandu yang ada 10 orang. Malam itu kami semua memang macam sardin cap ayam di Kem Balak ini. Sumber air di kem ini berada lebih kurang 2 minit dari tapak khemah. Anda hanya perlu berjalan mengikut rentis turun ke anak sungai. Rentis sebelah kanan jika anda menghadap ke arah hadapan rentis daripada mana anda bermula.
 |
| *Kem Balak - bawah fly |
 |
| *Gua Azan |
Anda boleh memilih untuk tidur di sini atau meneruskan perjalanan ke Gua Azan - satu tapak perkhemahan yang berada di kawasan gua dan mempunyai sumber air yang keluar dari batu. Perjalanan ke Gua Azan hanya mengambil masa selama 1 1/2 jam dari Kem Balak. Setelah mendaki anda akan bertemu dengan satu simpang di sebelah kiri anda. Ambil simpang ini dan terus menyusur rentis sehingga ke Gua Azan. Sumber air di Gua Azan ini terdapat di bahagian bawah gua. Pandang ke arah gua, ambil rentis kiri sehingga anda bertemu dengan sumber air di bawah batu di sebelah kanan anda. AMARAN!!! Air boleh digunakan untuk mandi, memasak, membasuh, wudhu dan sebagainya, tapi tidak sama sekali dibenarkan untuk membasuh di kawasan air tersebut, jangan menggunakan sabun di kawasan tersebut. Kalau nak bersabun juga sila ke bahagian bawah lagi atau keluar dari kawasan batu itu. Ini adalah bagi menjaga kecantikan dan kebersihan air tersebut untuk kegunaan pendaki dan juga orang-orang sekeliling.
Bermalamlah anda di Gua Azan sebelum meneruskan perjalan untuk hari esok.
.JPG) |
| *KRC - mendaki tangga kayu. Sebelah kanan adalah gaung |
Hari Kedua: Untuk ke Puncak Batu Puteh sila ambil laluan di sebelah kanan gua (
rentis ini menaik ke atas. Rentis semalam menurun ke bawah) dan anda akan bertemu dengan simpang 3. Sila ambil laluan kiri untuk ke puncak Gunung Kak. Laluan kanan akan membawa anda ke simpang gua yang semalam anda lalui dan inilah jalan untuk anda pulang esok harinya - short cut. Dari simpang ini untuk menuju ke Gunung Kak akan mengambil masa selama 1 - 1 1/2 jam sahaja. Sebelum tiba di Gunung Kak @ Kem Permatang anda akan melalui satu kawasan yang saya namakan sebagai KRC (
Killing Rock Center). Dari KRC ke Gunung Kak hanya mengambil masa selama 5 - 10 minit sahaja.
 |
*Kem Permatang / Gunung Kak
|
Dari Kem Permatang / Gunung Kak anda hanya perlu menyusuri rentis yang ada dan menuju ke Kem Anaconda (sumber air sebelum ke puncak). Perjalanan akan mengambil masa selama 2 jam dari Kem Permatang. Dari Kem Permatang anda akan dapat melihat Puncak Gunung Kak, Gunung Batu Lintang dan juga Gunung Batu Puteh. Untuk mendaki Gunung Kak anda perlu memanjat tangga kayu yang ada di situ. Puncak Gunung Kak dan Kem Permatang hanya 2 minit perjalanan sahaja.
 |
| *Kem Anaconda (LWP) |
Untuk mengambil air di Kem Anaconda ini anda perlu turun ke bawah mengikut rentis di sebelah kiri tapak perkhemahan. Perjalanan turun mengambil masa selama 5 minit dan ianya sangat-sangatlah curam sehingga mencapai 80 darjah kecuraman. Dan disebabkan itu juga ianya digelar Air Terjun Nak Terbunuh. Gambar air terjun tersebut adalah yang saya letakkan di atas sekali. Tapak perkhemahan Kem Anaconda ini boleh memuatkan seramai 30 orang dalam satu-satu masa.
Biasanya ramai pendaki akan makan tengahari di sini dan akan memikul air sehingga ke puncak untuk kegunaan makan malam dan sarapan keesokan harinya. Ada juga kumpulan pendaki yang akan turun semula ke sini untuk bermalam atau terus ke Kem Permatang. Perjalanan adalah terpulang kepada pendaki dan kehendak masing-masing.
Perjalanan diteruskan sehingga ke puncak dengan mengikut rentis yang tersedia ada. Jangka masa perjalanan bagi yang laju adalah selama 1 jam dan paling lambat 3 jam anda pasti tiba di puncak Gunung Batu Puteh. Rentis ke puncak sangat cantik dengan terdapat banyak pokok-pokok hutan gunung (
montane) dan juga lumut-lumut (
mossy)yang menghijau. Jika anda terlihat trig point maknanya anda telah tiba di puncak Batu Puteh dan sedang berada pada ketinggian 6,993 kaki dari aras laut.
 |
| *Puncak Gunung Batu Puteh |
Di puncak anda dapat melihat keseluruhan Banjaran Titiwangsa yang mengujur megah di bumi Malaysia. Anda pasti dapat meneka yang mana satu Gunung Korbu, Gayung, Yong Belar, Chabang, Suku, Irau, Brinchang, Yong Yap dan banyak lagi.
Hari Ketiga: perjalan turun melalui rentis yang sama sehingga Empangan Woh. Perjalanan mengambil masa selama 8 - 10 jam dari puncak ke empangan.
---------------------------------<@
Untuk pengetahuan saudara/i pembaca sekalian, saya telah mendaki gunung ini sejak dari tahun 2000 sehingga kini, tetapi masih banyak yang ingin saya jelajahi dan pelajari daripada gunung ini.
Syukur ke atas kurniaan Ilahi di atas segala tanah, air, gunung, langit, tumbuhan dan segalanya yang diberikan kepada kita, untuk kita sama-sama menghayati dan mempelajari setiap sudut yang tersedia ada.
Terbaik...
ReplyDeletePernah pergi...best. ooooo
ReplyDeleteTuan,
ReplyDeleteMohon maklumat berikut:
Kem Permatang boleh muat berapa orang?
Berapa lama dari Kem Y ke Kem Balak I ?
Terima kasih.